Sidang MPBN Negeri Sarawak: ABIM Sarawak Berperanserta dalam Realisasi Agenda 'Dari Belia untuk Belia'


Kuching, 25 April 2019: ABIM Negeri Sarawak telah terpilih sebagai sebahagian daripada perwakilan belia negeri dalam Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2019 Peringkat Negeri Sarawak.
Persidangan yang berlangsung pada 25 April 2019 bertempat di Dewan Banquet Bunga Sri Rampai Kuching ini dihadiri oleh perwakilan daripada pertubuhan-pertubuhan belia peringkat Negeri termasuklah ABIM Negeri Sarawak dan Pertubuhan Belia kebangsaan Bersatu Sarawak(SABERKAS) Negeri Sarawak.
Persidangan MPBN ini merupakan suatu usaha untuk meneroka dimensi baru serta menzahirkan pelan tindakan dalam agenda pembangunan belia khususnya di negeri ini.
Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini dan perbincangan mengenai isu-isu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan keperluan dan kehendak belia dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik. Antara isu yang diutara oleh peserta belia yg hadir seperti peluang pekerjaan, ekonomi,masalah sosial, pemberian bantuan aktiviti, isu jenayah,kemahiran dan media.
ABIM Negeri Sarawak diwakili Timbalan Yang Dipertua Ustaz Mohamad Raufa Irman Abdul Raub dan Setiausaha Kewangan Cik Norathirah Rambli.
Sidang separuh hari ini disempurnakan perasmiannya oleh yang Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS).
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa hubungan akrab di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di peringkat Persekutuan dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan di Sarawak (MTACYS) mampu merealisasikan konsep “Dari Belia Untuk Belia”.
“Konsep “Dari Belia Untuk Belia” ini merupakan satu konsep sama rata dalam membangunkan negara yang sememangnya telah diamalkan sebelum ini. Konsep perbincangan dengan pemegang taruh akan memberi impak yang besar kepada masyarakat agar belia kita sedar bahawa kerajaan amat menghargai mereka. Sehubungan itu, belia diseru mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik yang disediakan antaranya permainan sukan seperti futsal, sukan ekstrem dan eSport yang begitu popular di kalangan orang muda,” katanya.
Menyentuh mengenai belia di Sarawak, Datuk Abduk Karim berkata Kerajaan Sarawak amat memberi fokus kepada generasi pewaris dan pelapis kepimpinan negara ini.
”Di Malaysia, jumlah belia yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun meliputi hampir 11 juta orang pada hari ini. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2016 jumlah belia di negeri Sarawak berumur 15 hingga 30 tahun ialah seramai 836,600 orang iaitu 32 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sarawak yang berjumlah 2,636,000 orang. Daripada jumlah tersebut, 486,500 orang atau 58 peratus terdiri daripada golongan belia bandar dan 350,000 orang atau 42 peratus adalah golongan belia luar bandar,” tambah beliau.
Menyedari jumlah belia di Sarawak yang semakin meningkat, Kerajaan Sarawak telah menyediakan selengkap-lengkapnya tanggungjawab dalam meneruskan agenda pembangunan negara kepada belia. Kini tiba masanya belia memiliki “world view perspective” yang tepat demi memastikan “mind set” berada pada zaman yang betul.
“Hakikatnya kita kini telah berada dalam zaman k-ekonomi setelah negara kita merdeka. Ini tidak bermakna kita tidak lagi diancam penjajahan. Penjajahan baru boleh terjadi dalam pelbagai bentuk melalui medium teknologi yang begitu pesat sekali. Untuk itu, pembukaan minda dan perubahan budaya tidak akan menghakis patriotisme dalam diri kita selagi ianya difokuskan kepada cinta yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa dan negara kita Malaysia,” ujarnya.
Turut hadir dan berperanan penting dalam persidangan ini, Yang Berbahagia Encik Zaini Abd Aziz, Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.








TAG