Ungguli Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2019: ABIM Sarawak Pertubuhan Belia Terbaik Sarawak 2019


Kuching, 27 April 2019: ABIM Sarawak telah dinobatkan sebagai pertubuhan belia terbaik bagi Negeri Sarawak setelah memenangi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2019 Peringkat Negeri Sarawak.
Anugerah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, dalam sebuah acara gilang gemilang Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Negeri Sarawak 2019.
Anugerah ini juga dilangsungkan bersempena dengan Karnival Youth Power Sarawak 2019, bertempat di Kompleks Belia dan Sukan yang berlangsung dengan pelbagai aktiviti belia selama tiga hari bermula 27 April dan menerima kunjungan lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival berlangsung.
Turut hadir dalam acara penyampaian Anugeran tersebut adalah Encik Zaini Abdul Aziz, Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak; Encik Ahmad Farid bin Sainuri, Presiden Majlis Belia Sabah; dan Puan Nancy Jolhi, Principal Assistant Secretary (youth division) Kementerian Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.
Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) telah mula diperkenalkan pada tahun 1988. Tujuan Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan belia di Malaysia.
Selain itu, ia juga meraikan kejayaan belia yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia.
ABIM Sarawak telah berjaya memikat hati para juri dan mengenepikan saingan para finalis pertubuhan belia yang lain seperti Persatuan Belia Kristian Rhema, Persatuan Belia Parlimen Mukah, Persatuan Belia Islam Nasional, dan Persatuan Belia Warisan Kenyalang.
Para juri profesional yang menghakimi dan menilai pertubuhan-pertubuhan belia ini terdiri daripada Panel penilai yang terdiri daripada Encik Mohamad Sharbini bin Haji Golong, Pegawai Pendaftar Pertubuhan Belia Sarawak merangkap ketua juri; Encik Zaini bin Abd Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Sarawak; Encik Iszuan Haroni, Setiausaha Eksekutif SABERKAS; dan Encik Reza bin Adnan, pegawai di Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS)
Para juri profesional ini telah hadir melakukan penilaian di Sekretariat ABIM Sarawak pada 12 Mac 2019 dan telah memberikannya markah tertinggi sehingga melayakkannya memenangi APBN Peringkat Negeri Sarawak.
Beberapa faktor menentukan kemenangan ABIM Sarawak sebagai johan APBN Peringkat Negeri Sarawak 2019, antaranya profail pertubuhan dan kegiatan yang mantap, program dan agenda dalam konteks pembangunan belia dan masyarakat, projek-projek pendidikan, keilmuan dan keusahawanan ABIM Sarawak serta jaringan antarabangsa ABIM Sarawak khususnya dengan organisasi di Kalimantan Barat Indonesia dan Brunei, inovasi dalam pentadbiran pertubuhan, di samping pengurusan kewangan yang baik dan efisen.
Johan APBN 2019 Peringkat Negeri Sarawak membawa pulang Trofi Khas, Sijil Penghargaan dan Wang Tunai bernilai RM10,000.00.
Dalam perkembangan sama, pihak Urusetia APBN Peringkat Negeri Sarawak telah mencalonkan ABIM Sarawak untuk bertanding di peringkat kebangsaan.
Pihak panel penilai APBN Peringkat Kebangsaan (kategori Pertubuhan) telah melakukan penilaian kepada kesemua pencalonan yang datang daripada peringkat negeri dan telah memilih empat pertubuhan untuk disenaraipendek mewakili negeri masing-masing, termasuklah ABIM Sarawak yang mewakili Negeri Sarawak.
Negeri-negeri lain adalah Pahang (Persatuan Belia Bukit Mahkota); Negeri Sembilan (Persatuan Belia Felda Jelai); Labuan (Persatuan Belia Bukit Kuda).
Panel Juri Profesional lanrikan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia juga telah mengadakan penilaian di kesemua empat pertubuhan tersebut. Keputusan akhir bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2019 Peringkat Kebangsaaan (kategori Pertubuhan) berada di tangan tim panel.
ABIM Sarawak merupakan satu daripada empat pertubuhan belia terbaik bagi tahun 2019 yang akan menerima anugerah dalam Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan, 15 Mei nanti, di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Anugerah bakal disampaikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.







TAG