Kuching, 29 Ogos 2019: ABIM Negeri Sarawak yang diwakili Naib Yang Dipertuanya, Encik Mohamad Rahmat Jamali telah menyertai Wacana Eksekutif Islam Rahmatan Lil Alamin peringkat Negeri Sarawak 2019.
Wacana separuh hari ini bertujuan untuk memberikan pemahaman berhubung konsep maqasid syariah secara langsung kepada golongan sasar, di samping mengeratkan hubungan antara Persekutuan dan Negeri dalam pelaksanaan dan penerapan konsep ini dalam pentadbiran.
Wacana yang berangsung di Dewan Majma' Kompleks Islam Sarawak ini menampilkan dua pembentangan: pertama berjudul "Agenda Maqasid Syariah dalam Tadbir Urus Negara" oleh Ustazah Nor Safina binti Zainal, Pengarah Maqasid Syariah JAKIM dan satu lagi pembentangan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Haji Kipli bin Yassin dengan pembentangan bertajuk "Pembudayaan Maqasid Syariah".
Sesi dilanjutkan dengan penyempurnaan perasmian majlis dengan Ucap Tama oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Hj Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Amanat Khas oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.
Majlis yang dihadiri lebih daripada 1000 orang peserta ini menghimpunkan para profesional, pemimpin pelbagai sektor, penjawat awam, para ulama, pendidik dan masyarakat awam.
#ABIM
#ABIMsarawak
#maqasid
Tiada ulasan
Catat Ulasan