Kuching, 13 September 2019: Angakatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan diwakili Timbalan Yang Dipertua Sdr. Mohamad Raufa Irman Abdul Raub, Setiausaha Negeri Sdr. Mohammad Fazril Saleh dan Ketua Biro Regenerasi Sdr. Muhammad Zhariff Azhari telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Persekutuan Sarawak, Tuan Haji Shahabuddin Omar.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepemimpinan ABIM Sarawak di samping mendapatkan nasihat dan pesan-pesan berguna bagi tindakan para belia bersama-sama membangun negeri Sarawak khasnya dan negara Malaysia amnya.
Pertemuan selama lebih sejam itu membahaskan banyak perkara termasuklah perihal potensi Sarawak sebagai salah sebuah negeri membangun pesat.
Perbincangan juga menyentuh kepentingan belia terlibat dalam kegiatan berpersatuan dan juga penglibatan belia dalam kegiatan kesukarelaan.
Tuan Haji Shahabuddin juga turut mengambil kesempatan pertemuan ini bagi merakamkan penghargaan dan tahniah atas kejayaan ABIM Sarawak merangkul tiga anugerah setakat tahun 2019 iaitu Johan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Negeri Sarawak, Anugerah Buku Negara Kategori Buku Umum Terbaik Terjemahan dan Tempat Ketiga Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Kebangsaan.
Tuan Haji Shahabuddin Omar yang baharu menyandang jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak juga terlibat aktif dalam kegiatan berpersatuan dan pernah memimpin pertubuhan belia. Sebelumnya beliau merupakan Pengarah MAMPU Sarawak dan berkhidmat di negeri ini belasan tahun.
Tuan Haji Shahabuddin juga dihadiahkan dua buah buku hasil karangan pimpinan ABIM Sarawak, Sdr Fazril Saleh bertajuk "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam".
#ABIMsarawak
#ABIM
Tiada ulasan
Catat Ulasan