Muktamar Belia Islam ABIM Sarawak ke-40 Berlangsung dengan Jayanya


Kuching, 14 September 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah menganjurkan Muktamar Sanawi (Perhimpunan Agung Tahunan) ABIM Negeri Sarawak kali ke-40 pada 14 September 2019, bertempat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Bukit Siol, Kuching.

Bersempena Muktamar ini juga dikelolakan dua acara sisipan iaitu Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak (kali ke-2) dan juga Majlis Peringatan Haul ke-101 Tahun Sheikh Haji Othman Abdul Wahab al-Sarawaqi.

Seramai 356 orang peserta yang terdiri daripada para perwakilan dan pemerhati Muktamar ABIM seluruh negeri Sarawak dan juga khalayak awam telah menyertai sesi Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak yang berlangsung pada sesi pagi, manakala lebih 300 orang menyertai Majlis Peringatan Haul 101 Tahun Sheikh Haji Othman Abdul Wahab al-Sarawaqi yang dilangsungkan pada sesi malamnya.

Dalam sesi tersebut juga, Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak sesi 2018/2019, Encik Muhammad Hazim bin Azhari telah menyampaikan Ucapan Penegasan yang bertajuk "Mengangkat Martabat Ummat: Kesiapsiagaan Belia dalam Melakar Masa Depan Sarawak".

Agenda muhasabah tahunan ini memberi hak dan kuasa kepada para perwakilan untuk memilih kepemimpinan baharu bagi sesi 2019/2020. Barisan kepemimpinan baharu ini dipilih berdasarkan kesepakatan musyawwarah secara bersama dengan menyemangati prinsip "wa shawirhum fi 'l-amr" (dan bermusyawwarahlah kamu dalam setiap urusan). Justeru para perwakilan telah mencapai kesepakatan memilih Ahli Jawatankuasa Kerja (pimpinan kanan) yang baharu bagi sesi 2019/2020, seperti berikut:

1. Yang Dipertua: Mohamad Raufa Irman bin Haji Abdul Raub
2. Timbalan Yang Dipertua: Azizan bin Ajiji
3. Naib Yang Dipertua: Muhammad Hazim bin Azhari
4. Naib Yang Dipertua: Mohd Raufa Aminuddin bin Haji Abdul Raub
5. Naib Yang Dipertua: Syarifah Fatin Awatif
5. Setiausaha Negeri: Awang Syazuan Shafiq bin Awang Jaya
6. Setiausaha Kewangan: Muhammad Zhariff bin Azhari
7. Penolong Setiausaha: Norshazira binti Zamri


Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak yang baharu bersama para pimpinan kanan Sesi 2018/2019 juga telah bersepakat memilih dan mengangkat beberapa lagi Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM bagi melengkapkan keseluruhan 24 jawatan dalam sesi kepemimpinan kali ini (Sila rujuk lampiran).

Portfolio yang diwujudkan bagi sesi kepemimpinan kali ini adalah selari dengan perkara 5.5.1 (a) Perlembagaan ABIM yang memperuntukkan hak budi bicara kepada Jawatankuasa Kerja ABIM Negeri untuk meniadakan dan menggantikan jawatan portfolio seperti tersenarai dalam Perlembagaan dengan persetujuan bertulis Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat.

Bagi pihak barisan kepemimpinan yang baharu, kami mengungkapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada barisan pimpinan sebelumnya yang diteraju oleh para ahli jawatankuasa sebelumnya atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan. Transisi ini merupakan kesinambungan misi perjuangan bersama yang harus dilihat sebagai suatu proses lumrah dalam organisasi. Yang lebih utama adalah perjuangan ini akan terus kita langsungkan bersama walau di mana pun posisi yang kita tempati.

Menginjak usia 41 tahun (1978-2019), ABIM Negeri Sarawak terus komited dengan penerusan agenda pembinaan generasi belia yang berketerampilan dan berkepemimpinan di samping menggiatkan usaha-usaha pendidikan dan pembaikan dalam kalangan masyarakat Sarawak khususnya. Dengan Rahmat dan Kasih Sayang Ilahi, cita-cita dan harapan murni ini bakal terlaksana, InshaAllah.

[Alamat Perhubungan]
ABIM Negeri Sarawak
Sekretariat ABIM Sarawak
No. 1193 Tingkat 1, Jalan Menggris, Taman Seri Wangi, 93050 Kuching, Sarawak.

No. Tel: 082-510223 | No. Faks: 082-510223 | email: abimsasar@gmail.com
Website: www.abimsarawak.org / www.facebook.com/abimnegerisarawak









































TAG