ABIM Sarawak Anjur Majlis Peringatan Haul 101 Tahun Shaykh Uthman Sarawak


Kuching, 14 September 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Ibadah Kampung Samariang Lama, Pertubuhan Majlis Syura Ukhuwah Ansab Ahlul Bayt Sarawak (ANSAB), dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) telah menganjurkan Majlis Peringatan Haul 101 Tahun Shaykh Uthman Abdul Wahhab al-Sarawaqi.

Acara ini dianjurkan dengan tujuan memperingati peribadi dan sumbangan Shaykh ‘Uthman Sarawak. Sebelumnya, telah dianjurkan Majlis Peringatan Haul Shaykh Uthman Sarawak pada tahun 2017 (di Surau al-Quddus Taman Sri Wangi, Kuching) dan dianjurkan Majlis Peringatan Haul 100 Tahun Shaykh Uthman pada tahun 2018 (di Masjid Darul Husni Warrahmah).

Majlis yang diadakan di Masjid Darul Ibadah Kampung Samariang Lama itu, dimulakan dengan bacaan surah Yaasiin dan tahlil arwah dipimpin oleh Imam 2 Masjid Darul Ibadah.

Acara dilanjutkan dengan solat Maghrib berjamaah. Seterusnya, ucapan sambutan oleh Pengerusi Masjid Darul Ibadah, Tuan Haji Awang Hambali disusuli sesi tausiyah oleh YBhg Ustaz Dr. Haji Azhar bin Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, yang juga merupakan angkatan pertama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW). Beliau menyampaikan syarahan berkenaan perihal ilmu dan ulama.

Ini diikuti dengan Sesi Pembacaan Manaqib dan Pengkisahan Shaykh Uthman Abdul Wahab disampaikan oleh Ustaz Fazril Saleh, exco Tugas-tugas Khas (Penerbitan) ABIM Pusat merangkap Setiausaha ABIM Sarawak dan juga penyunting buku "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" yang telah memenangi Anugerah Buku Negara 2019 Kategori Buku Umum Terbaik (Terjemahan).
Buku tersebut adalah kitab biografi/ manaqib Shaykh Uthman Sarawak karangan Shaykh Zaynu’d-din Uthman al-Sarawaqi yang diterbitkan sekitar tahun 1921 Masihi. Buku ini diterbitkan semula dengan transliterasi, suntingan dan pengenalan oleh Fazril Saleh, yang juga merupakan salah seorang pimpinan ABIM Sarawak. Malah, buku ini juga telah memenangi Anugerah Buku Negara 2019 (Buku Umum Terbaik Kategori Terjemahan) pada 01 April 2019 yang lalu.

Rakaman acara ini dapat ditonton di pautan berikut; https://www.facebook.com/masjid.disl/videos/516012065877695/

Untuk informasi lanjut berkaitan Shaykh Uthman Sarawak, sila layari laman FB www.facebook.com/legasishaykhuthmansarawak.


#ABIM
#ABIMsarawak
#SHOAW
#legasishaykhuthmansarawak