"Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" Menang Anugerah Buku Negara 2019


Kuala Lumpur, 01 April 2019: Buku kelolaan ABIM Sarawak berkaitan tokoh 'ulama Sarawak Shaykh Haji 'Uthman Abdul Wahhab al-Sarawaqi (Shaykh 'Uthman Sarawak) telah memenangi Anugerah Buku Negara 2019 kategori Buku Umum Terbaik (Terjemahan).
Buku yang diterbitkan oleh Penerbit ABIM ini telah dikeluarkan sempena Majlis Peringatan Haul 100 Tahun Shaykh 'Uthman Sarawak, yang diadakan di Kuching pada 04 Ogos tahun lalu.
Buku yang asalnya ditulis oleh Shaykh Muhammad Zaynuddin Uthman al-Sarawaqi ini ditransliterasi, disusun dan diberikan pengenalan ringkas oleh Mohammad Fazril bin Mohd Saleh, mahasiswa pasca-sarjana Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang juga merupakan Setiausaha ABIM Negeri Sarawak.
Anugerah disampaikan dalam acara gilang-gemilang Anugerah Buku Negara bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Mohammad Fazril dengan diiringai Presiden ABIM Tuan Haji Mohd Raimi Ab Rahim hadir menerima anugerah tersebut. Turut hadir Timbalan Presiden ABIM Encik Khairul Anwar Ismail merangkap Pengurus Besar ABIM Press PLT.
Kategori yang dimenangi ini merupakan salah satu kategori paling sengit dipertandingkan. Panel penilai profesional yang diketuai Tan Sri Professor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar telah sepakat memilih buku "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" sebagai pemenang bagi kategori ini.
"Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" menceritakan perihal kehidupan Shaykh Uthman, tempat kelahirannya, asal usul keturunannya, perjalanan hidupnya sejak kecil, keberangkatan beliau ke Makkah menuntut ilmu, perihal gurunya, dan juga beberapa perihal akhlaknya yang terpuji.
Buku ini telah mendapat tempat di hati panel penilai Anugerah Buku Negara, moga-moga kitab ini bakal turut mendapat tempat di hati-hati rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sarawak.






TAG