Kuching, 27 Februari 2019: Angkatan rijal ABIM Negeri Sarawak terus komited dengan agenda tarbiyah dan keintelektualan dengan melanjutkan rutin saban minggu menganjurkan usrah rijal. Usrah atau program perbincangan mingguan yang berbentuk kekeluargaan ini telah masuk siri ke-6 bagi sesi kepemimpinan baharu 2018/2019.
Usrah adalah program perbincangan ilmu dan isu semasa berkala (mingguan) dalam kalangan pimpinan belia Islam. Usrah Rijal siri-6 telah diadakan di Kediaman Tuan Haji Awang Hambali Awang Hamdan, seorang tokoh pendidik yang disegani di Sarawak.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Syura Negeri Sarawak, juga merupakan aktivis ABIM Sarawak pada zaman mudanya.
Acara bermula selepas Solat Isyak dengan bacaan zikir al-Mathurat yang menjadi tradisi warga ABIM dalam memulakan pertemuan. Majlis diteraju Setiausaha ABIM Negeri, Sdr Mohammad Fazril Mohd Saleh.
Kemudiannya, acara dilanjutkan dengn pembahasan ayat-ayat al-Quran terpilih iaitu Surah Ali-Imran ayat 12-16, dipimpin oleh Ustaz Mohamad Raufa Irman Abd Raub, Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak.
Usai tadabbur ayat-ayat suci al-Quran, Tuan Haji Awang Hambali Awang Hamdan atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Awang selaku tuan rumah menyampaikan ucapan sambutan dan pengisian dalam bentuk pengalaman dan pesan-pesan.
Cikgu Awang pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pendidikan di Malaysia termasuklah Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus Batu Lintang. Beliau yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan turut memberikan pedoman berkaitan isu pendidikan di samping mencadangkan kepada ABIM beberapa penambahbaikan dalam kontek merencana program-program pendidikan.
Tiada ulasan
Catat Ulasan