26 Disember 2019
25 rakyat India disahkan maut akibat keganasan polis ketika menghadiri demonstrasi besar-besaran di seluruh India bagi membantah undang-undang yang dikatakan mendiskriminasi rakyat India beragama Islam, berdasarkan laporan Al-Jazeera.
Undang-undang tersebut yang dinamakan Citizenship Amendment Act (CAA) memberikan hak kewarganegaraan India kepada pelarian luar negara yang beragama lain selain Islam, sekaligus dituduh berbaur anti-Islam oleh pengkritik kerajaan India.
Kerajaan India kini diterajui oleh Bharatiya Janata Party (BJP) yang dikenali sebagai sebuah parti Nasionalis Hindu yang diketuai oleh Perdana Menteri Narendra Modi. BJP dikatakan telah melaksanakan agenda anti-Islam yang menekan rakyat India yang beragama Islam termasuk polisi menghapuskan hak autonomi Kashmir, satu-satunya wilayah majoriti Muslim di India.
Kemarahan rakyat India semakin meluap setelah kerajaan BJP ini meluluskan undang-undang CAA tersebut pada 11 Disember lepas, pelbagai lapisan masyarakat di India yang diketuai oleh Parti Kongres India bangkit memprotes demi bersolidariti mempertahankan hak rakyat Islam di India yang seakan-akan dipinggirkan.
Jutaan rakyat India tanpa mengira bangsa dan agama mula memprotes sehari selepas CAA diluluskan, mengakibatkan kematian 25 orang demonstran.
Paling terjejas adalah Aligarh Muslim University (AMU), sebuah universiti Islam yang terbesar di India. Menurut Al-Jazeera, pihak polis India dikatakan telah menyerang mahasiswa-mahasiswa AMU yang mengadakan demonstrasi di dalam kampus dengan ganas, mengakibatkan kecederaan parah kepada beberapa mahasiswa AMU termasuk Mohammad Tariq yang telah putus tangan kanannya akibat terkena peluru asap yang ditembak polis.
Keganasan dan demonstrasi berkenaan dijangka tidak akan reda dalam tempoh terdekat kerana ketegangan yang masih memuncak di India.
Rakyat yang berdemonstrasi berusaha memperjuangkan kebebasan rakyat India daripada sebarang ancaman diskriminasi dan tindakan keras kerajaan, namun setakat ini bantahan mereka tidak diendahkan oleh Narendra Modi.
Doakan keselamatan rakyat India!
Tiada ulasan
Catat Ulasan