ABIM Nasihat Hentikan Provokasi Isu Tulisan Jawi

Tindakan kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong mengadakan Kongres Organisasi Cina untuk membincangkan isu tulisan Jawi pada 28 Disember 2019 ternyata menimbulkan keresahan rakyat Malaysia.
Ia dilihat sebagai satu provokasi yang boleh mencetuskan polemik berpanjangan dan pasti akan dibalas oleh pertubuhan Islam-Melayu.
Oleh itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyeru agar semua pihak berkepentingan untuk hentikan sebarang jenis provokasi berkaitan isu hangat ini.
Menurut beliau, "muafakat cara Malaysia adalah duduk bersemuka dan saling berbincang. Kita nak perkara ini dapat diselesaikan dengan terbaik sebelum dilanjutkan kepada kongres atau himpunan dan sebagainya.
“Selagi mana boleh diselesaikan dengan baik, kita cuba cari jalan terbaik untuk diselesaikan. Sebab kalau nak buat himpunan balas dan sebagainya, kita kena tengok balik, apa hasil atau tujuannya?
“Kalau bagi kami, mana-mana isu pun, dalam konteks Malaysia, itulah permuafakatan yang kita sepakati dari dulu, untuk kita bersemuka, berbincang antara semua pihak, dan sama-sama saling menjelaskan tentang apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi wartawan tempatan.
Kongres Organisasi Cina dianjurkan kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong di Kolej Universiti New Era di Kajang pada 28 Disember (Sabtu), manakala Kongres Jawi anjuran Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) dijadualkan 29 Disember (Ahad) di sebuah hotel di Petaling Jaya.
ABIM Sarawak turut berpendapat bahawa usaha dialog adalah lebih baik berbanding melakukan provokasi yang hanya akan mengeruhkan keadaan. Menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah amanah semua rakyat secara bersama.
Hentikan provokasi, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!

TAG