Himpunan Aman Bantah Penindasan China Terhadap Uyghur
ABIM dan Global Peace Malaysia (GPM), bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain akan mengadakan Himpunan Aman bagi membantah penindasan Kerajaan China terhadap etnik Uyghur di Turkistan Timur pada esok hari.
Himpunan tersebut akan diadakan di hadapan Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.
ABIM juga akan menyerahkan memorandum teguran keras kepada Kerajaan China. Pada 5 Julai lepas, ABIM dan beberapa NGO lain telah menghantar memorandum yang sama ke kedutaan China, namun Duta Besar China enggan bersemuka dengan kami.
Himpunan ini diadakan setelah mengambil kira penindasan yang semakin teruk dibuat oleh kerajaan China terhadap etnik Uyghur. Dilaporkan oleh portal berita The Guardian, lebih sejuta etnik Uyghur kini berada dalam kem tahanan.
Terdapat juga laporan saksi yang menuduh pihak berkuasa China menyeksa tahanan Uyghur di samping masjid-masjid dimusnahkan di wilayah Turkistan Timur.
Penyiasat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak dibenarkan untuk melihat kondisi jutaan tahanan Uyghur. Malah, keluarga tahanan-tahanan tersebut juga tidak dibenarkan berjumpa dan mendapatkan maklumat tentang ahli keluarga mereka yang dalam tahanan.
Sehingga kini, tiada negara di dunia yang berani memprotes secara keras terhadap isu ini. Oleh itu, diharapkan umat Islam di Malaysia dapat bersama kami untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan China dan mempertahankan hak etnik Uyghur yang tertindas di sana.
Jumpa esok!
Tiada ulasan
Catat Ulasan