Segelintir rakyat Malaysia mungkin mempersoalkan kepentingan kita untuk peduli kepada nasib etnik Uyghur di China, sedangkan nasib rakyat di Malaysia yang dekat pun tak semestinya terbela.
Tambahan pula, etnik Uyghur hidup beribu kilometer daripada kita, di negara China pula. Kenapa kita perlu kisah?
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
"Perumpamaan kaum Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam." (HR Ahmad)
Jelas daripada hadith Rasulullah SAW ini bahawa setiap mukmin adalah bersaudara. Sekiranya salah seorang daripada kita menghadapi masalah, yang lain juga sewajarnya turut menanggung rasa susah itu.
Inilah keistimewaan umat Islam yang menjadikan kita suatu kuasa besar di dunia pada masa dahulu. Musuh-musuh Islam amat gerun dengan kekuatan politik umat Islam yang pernah memerintah 1/3 dunia.
Maka, jika kita tidak mengendahkan nasib saudara seiman dengan kita, kekuatan umat akan melemah akibat ditindas dan ditewaskan sedikit demi sedikit oleh pihak musuh sedangkan yang umat Islam lain hanya membutakan mata.
Perkara ini nampak jelas ketika era kolonialisme dan imperialisme apabila sedikit demi sedikit tanah air umat Islam ditawan dan dijajah tanpa dibantu oleh saudara se-Islam yang lain di wilayah berbeza.
Contoh paling ketara adalah ketika Empayar Turki Uthmaniyah mula ditewaskan. Tiada usaha membantunya dibuat oleh kerajaan Islam yang lain seperti Parsi dan Hijaz, bahkan mereka pula membantu musuh Uthmaniyah!
Akhirnya sedikit demi sedikit, semakin ramai umat Islam ditindas dengan zalim oleh pihak penguasa tanpa dibantu oleh umat Islam yang lain. Iraq, Afghanistan, Yaman, Mesir, Syria, Palestin merupakan negara-negara yang berterusan dizalimi. Kini, kita dapati umat Islam di Rohingya dan China pula ditindas dengan dahsyat sekali.
Namun, walau ramai yang bersimpati terhadap nasib mereka, tapi tidak ada satu pun negara Islam yang dapat menyelamatkan mereka serta menyelesaikan isu kekejaman yang mereka hadapi hampir setiap hari.
Maka benarlah apa yang pernah diramalkan oleh Rasulullah SAW lebih 1400 tahun yang lepas:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda SAW:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”
Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
(HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud No. 3745)
Oleh itu, saudara Muslimin dan Mukminin sekalian, bangkitlah daripada kealpaan kita. Gemblengkan segala usaha kita untuk kembalikan kekuatan umat sedikit demi sedikit, agar tiada lagi pihak lain yang berani sesuka hati menindas umat Islam.
Sertai kami di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam satu jemaah yang kukuh, kita gerakkan semula aktivisme dakwah dan tarbiyah sebagai usaha awal membina kekuatan umat Islam. Kita mulakan langkah pertama dengan berusaha peduli dan cakna isu penindasan etnik Uyghur di China!
"Keep calm and join ABIM."
Awang Syazuan Shafiq Bin Awang Jaya
Setiausaha ABIM Negeri Sarawak
Awang Syazuan Shafiq Bin Awang Jaya
Setiausaha ABIM Negeri Sarawak
Tiada ulasan
Catat Ulasan