Tahun 2020 merupakan tempoh yang amat penting dan kritikal bagi Amerika Syarikat dan seluruh dunia. Pada bulan November 2020, rakyat Amerika Syarikat akan turun mengundi bagi memilih Presiden Amerika Syarikat.
Mereka memiliki 2 pilihan, sama ada mahu meneruskan pemerintahan Donald Trump dari Parti Republican atau memilih pencabarnya dari Parti Demokrat.
Seperti yang semua sedia maklum, Presiden Donald Trump dikenali sebagai pemimpin dunia yang populis, rasis dan jahil.
Antara perkara pertama yang beliau lakukan ketika baharu dilantik sebagai Presiden adalah mengharamkan pengunjung dari beberapa buah negara Islam termasuk Somalia dan Yaman untuk memasuki Amerika Syarikat.
Donald Trump juga bertanggungjawab mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sekaligus menaikkan kemarahan umat Islam seluruh dunia dan menggagalkan usaha perdamaian di Palestin.
Tambahan pula, beliau merupakan rakan baik pemimpin-pemimpin diktator dan zalim seluruh dunia termasuk Abdul Fatah Al-Sisi, Presiden Mesir yang membunuh ratusan ahli Ikhwanul Muslimin selama beberapa tahun lepas dan Muhammad Bin Salman (MBS) Putera Mahkota Arab Saudi yang didakwa telah mengarahkan pembunuhan wartawan Saudi, Jamal Kashoggi pada tahun 2019.
Musuh ketat Trump, Parti Demokrat pula sedang dalam proses memilih seorang pemimpin yang akan berhadapan tugas sukar untuk menewaskan Trump yang memiliki sokongan kukuh di Amerika Syarikat.
Terdapat 15 orang calon yang masih bersaing, namun beberapa nama besar dijangka akan mengungguli pemilihan berkenaan. Joe Biden, Bernie Sanders, Elizabeth Warren dan Pete Butigieg adalah pilihan utama Demokrat; namun masing-masing memiliki kelebihan dan sokongan padu kelompok pengundi Demokrat.
1. Joe Biden
Joe Biden merupakan ahli politik veteran yang telah berkecimpung dalam politik Demokrat selama lebih 4 dekad. Pertama kali dilantik ke Dewan Senat Amerika Syarikat pada tahun 1972, beliau merupakan ahli politik paling berpengalaman dalam Parti Demokrat.
Beliau menjadi Timbalan Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008 selepas memenangi pilihanraya bersama Presiden Barack Obama. Beliau mendapat sokongan kuat pengundi Demokrat berkulit hitam dan kelas pekerja bawahan.
Walau bagaimanapun, beliau kini berusia 77 tahun dan dilihat sebagai seorang calon yang terlalu tua. Beliau juga sering melakukan kesilapan ketika berdebat dengan calon Demokrat yang lain.
2. Bernie Sanders
Bernie Sanders, pesaing utama Biden juga merupakan seorang politikus veteran, namun memiliki ideologi yang jauh berbeza daripada Biden. Sanders merupakan seorang sosialis yang sering mengkritik sistem kapitalis Amerika Syarikat dengan lantang.
Beliau mula dikenali sebagai Datuk Bandar Sosialis pertama di Amerika Syarikat, setelah memenangi pilihanraya di bandar Burlington. Pada tahun 2016, beliau memberikan kejutan kepada Hillary Clinton dengan hampir mengalahkan beliau sebelum kecundang dalam cabaran pemilihan calon Presiden dari Parti Demokrat.
Kini beliau sekali lagi mencalonkan diri menjadi Presiden dengan manifesto kesamarataan ekonomi, dan mendapat sokongan padu daripada pihak kelas pekerja.
Namun, beliau juga dianggap sebagai seorang calon yang terlalu berusia (78 tahun) dan baharu sahaja mengalami serangan jantung pada bulan lepas.
3. Elizabeth Warren
Elizabeth Warren adalah seorang calon kegemaran kelompok Progresif dalam Parti Demokrat. Walaupun beliau kini berusia 70 tahun, Warren dianggap tidak banyak berpengalaman dalam bidang politik berbanding Sanders dan Biden.
Namun, beliau amat dikenali di Amerika Syarikat sebagai seorang politikus yang memperjuangkan nasib rakyat biasa yang teraniaya dengan kelompok kapitalis yang rakus. Beliau juga telah lama berkhidmat sebagai profesor di Universiti Harvard dan disegani kerana memiliki kekuatan intelek yang tinggi.
4. Pete Buttigieg
Pete Buttigieg adalah antara calon termuda Demokrat dengan usianya hanya 37 tahun. Beliau merupakan calon kegemaran kelompok moderat dalam Parti Demokrat dan dianggap seorang calon muda yang dinamik.
Dikenali sebagai seorang politikus yang sangat mahir berbicara dan genius, beliau juga calon presiden pertama dalam sejarah Amerika Syarikat yang mengaku secara terbuka bahawa beliau adalah seorang homoseksual.
Disebabkan usianya yang muda, beliau tidak memiliki pengalaman yang panjang dalam politik Amerika Syarikat. Beliau kini adalah Datuk Bandar South Bend, sebuah bandar kecil di negeri Indiana.
5. Calon-calon lain
Selain daripada 4 calon pilihan di atas, terdapat 11 lagi calon Demokrat yang bersaing untuk mendapatkan pencalonan sebagai Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya.
Tom Steyer dan Michael Bloomberg adalah jutawan yang memiliki kekayaan besar yang boleh digunakan untuk membantu kempen mereka, manakala calon-calon lain sperti Cory Booker, Michael Bennet, Julian Castro, John Delaney, Tulsi Gabbard dan Amy Klobuchar dianggap nama-nama kecil yang tidak memiliki peluang cerah.
November 2020 Penentu Nasib Dunia
Presiden Amerika Syarikat sebagai seorang pemimpin yang memiliki kuasa yang besar dunia memiliki peranan penting dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan dunia.
Amerika Syarikat memiliki kekuatan nuklear yang sangat besar, di samping mengetuai angkatan tentera terbesar dunia. Ekonomi dunia juga dikuasai oleh syarikat-syarikat multinasional Amerika Syarikat.
Oleh itu, pemilihan Presiden pada tahun 2020 merupakan suatu perkara yang boleh menentukan masa depan dunia untuk 5 tahun akan datang.
Doakan kemenangan bagi calon terbaik untuk dunia!
Oleh:
Awang Syazuan Shafiq Bin Awang Jaya
Tiada ulasan
Catat Ulasan