Amerika Syarikat Bunuh General Iran




Amerika Syarikat di bawah pimpinan Donald Trump sekali lagi telah melakukan tindakan ganas dengan membunuh General Qassem Suleimani di Baghdad semalam.
General Qassem adalah seorang pemimpin Briged Al-Quds, sebuah unit Revolutionary Guard Iran yang memainkan peranan penting dalam politik dalaman di Iraq, Syria dan Lubnan. Beliau juga disifatkan sebagai pemimpin kedua paling berpengaruh di Iran, selepas Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Menerusi usaha beliau, militia proksi Iran kini memiliki pengaruh besar di Iraq, selain membantu rejim Bashar Al-Asad menewaskan pemberontakan di Syria dan menaikkan kekuatan ketenteraan Hizbullah di Lubnan.
Oleh itu, Amerika Syarikat menganggap General Qassem sebagai musuh utama yang perlu dimusnahkan bagi mengurangkan pengaruh Iran di arena Timur Tengah.
Namun, tindakan berkenaan sekali lagi menunjukkan kekejaman Amerika Syarikat yang bertindak berani membunuh pemimpin lawan mereka tanpa sebarang tindakan di mahkamah antarabangsa.
Sebagai tindakan balas, kerajaan Iran menyifatkan pembunuhan berkenaan sebagai "tindakan perang" dan berjanji akan "membalas dendam" terhadap Amerika Syarikat pada masa akan datang.
Menteri Luar Iran, Javad Zarif mengkritik pembunuhan berkenaan sebagai "terorisme" dan "Amerika Syarikat harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka".
Terbaharu, ribuan rakyat Iraq pro-Iran berhimpun di Baghdad bagi mengiringi jenazah General Qassem sebelum diterbangkan ke Tehran untuk upacara pengebumian di sana.
Situasi ini dikhuatiri akan menimbulkan peperangan antara dua kuasa besar ini, sekali gus meneruskan lagi sejarah keganasan di Timur Tengah.
Agensi berita luar negara seperti The Guardian dan Politico berkata perang dijangka akan berlaku jika kedua-dua pihak tidak menghentikan tindakan provokasi.
Peperangan dan pertikaian politik yang tidak berkesudahan antara kuasa dunia hanya akan mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat Timur Tengah.

TAG