Dr. Hasan Al-Turabi: Tokoh Perundangan Islam Moden


Saya baru sahaja menonton dokumentari Al-Jazeera tentang insan hebat ini, merangkap tokoh perundangan di bumi Sudan serta arkitek politik yang bijak dan licik. Beliaulah Almarhum Sheikh Dr Hasan Al-Turabi, Pensyarah Undang-Undang, Peguam dan mantan Penguam Negara serta Menteri Undang-Undang Sudan. 
Beliau merupakan anak kepada seorang Hakim Syarie, dan beliau juga merupakan Pakar Perundangan Syarie dan Sivil yang mahir dalam bahasa Arab, Inggeris, Jerman dan Perancis. Beliau adalah lulusan Khartoum University, King's College London dan mendapat PHD di Sorbonne Perancis; kesemuanya adalah Institusi Pendidikan Tinggi terkemuka di peringkat antarabangsa.
Kemahiran beliau dalam perundangan dalam dua dunia, sivil dan syarie memudahkan beliau unttk berusaha menerapkan undang-undang Shariah secara lebih menyeluruh dalam undang-undang Sudan. Beliau menyeru supaya Shariah difahami semula dan dibahaskan dengan perbahasan yang terkini dan bukan terhad kepada masa lampau. Beliau menyeru supaya ijtihad baru ditiup dalam implementasi Shariah. Usaha ini beliau lakukan ketika menjadi Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang, namun jalan perjuangannya ternyata berliku.
Beliau dan partinya National Islamic Front (sebuah offshoot dari Ikhwanul Muslimin) berhadapan ancaman saki baki Parti Komunis, golongan sekular, puak elit yang korup, intelligence Barat seperti CIA dan MOSSAD, serta puak Junta Tentera yang sering mengguling kerajaan yang mereka tidak persetujui.
Hidupnya tidak lekang dari penjara, sejak awal hingga usia senja, jeriji besi sering menjadi sahabatnya. Namun bak kata beliau "aku anggap hidupku dipenjara ibarat nikmat yang Tuhan beri untuk aku berehat". Maka di penjaralah beliau lahirkan kitab-kitab penulisan beliau.
Beliau menceritakan kisah beliau yang akan sentiasa membawa satu beg khas ke mana-mana meskipun sedang tidur, beg itu akan diletak bawah katil kerana beliau tahu bila-bila masa sahaja beliau akan disumbat ke penjara. Maka beg itu ada barang keperluan asasinya.
Antara Magnum Opusnya adalah Perempuan dan Islam (Women and Islam)  dan kitab tafsirnya At-Tafsir At-Tauhidiy, The Making Of Islamic Political Leader dan lain-lain. Beliaulah yg mula-mula memperjuangkan nasib wanita dan mahukan wanita menyertai gerakan politik dan kepimpinan negara dan bukan duduk terperap di rumah semata-mata. 
Pemimpin-pemimpin Arab seperti Hosni Mubarak dan sekutu-sekutu mereka begitu benci pengaruh Islam yang dibawa Hasan Al-Turabi. Beliau bersama gerakan politik islam di dalam dan luar negara menganjurkan seminar politik Islam dan membawa dimensi politik baharu acuan Islam sebagai gantian kepada sistem sedia ada yang menindas rakyat biasa.
Di hari akhir beliau di dunia, beliau kemas memakai serban Sudannya serta menulis beberapa ayat dengan khatnya yang cantik. Dan ketika beliau cermat membaca surat khabar, Tuhan Yang Maha Penyayang menjemput beliau ke negeri Abadi tanpa sempat beliau menghabiskan bahagian kedua dari Tafsir Tauhidinya.

Kini, Junta Tentera yang korup dan memiliki ideologi songsang sudah menguasai kerajaan Sudan sekarang, sedangkan di zaman Hasan Turabi dahulu beliau berjaya mengekang pengaruh sekular dan komunis dari tampuk pentadbiran. Moga Allah Taala membantu pejuang Islam di Sudan pada masa ini.
Al-Fatihah kepada As-Sheikh Hasan Abdullah Al-Turabi.

Penulis:
Omar Mokhtar
Timbalan Yang Dipertua ABIM Pulau Pinang
TAG