India Boikot Produk Kelapa Sawit Malaysia


Pada 7 Januari lepas, agensi berita Reuters melaporkan bahawa kerajaan India meminta syarikat-syarikat pemprosesan minyak sawit untuk memboikot produk sawit Malaysia selepas kritikan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atasnya.

Tindakan India memboikot kelapa sawit Malaysia menunjukkan sikap angkuh kerajaan India terhadap sebarang kritikan ke atasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir mengkritik tindakan kerajaan India meluluskan undang-undang yang mendiskriminasi rakyat India beragama Islam.

Tun Dr Mahathir menyifatkan tindakannya mengkritik kerajaan India sebagai tanggungjawab untuk memperbetulkan perkara yang salah walaupun mendatangkan kerugian dari segi kewangan kepada negara.

Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan India di bawah pimpinan Narendra Modi enggan menerima sebarang kritikan dan enggan berkompromi dengan agenda mereka untuk meminggirkan rakyat India yang beragama Islam.

Tahun 2019 merupakan tempoh yang menunjukkan belang India dan China yang jelas menindas umat Islam di negara masing-masing secara terbuka tanpa sebarang halangan dan sekatan daripada negara lain.

Situasi berkenaan juga sekali lagi menunjukkan kepentingan negara-negara Islam untuk bersatu demi memperjuangkan semua umat Islam yang ditindas tanpa mengira kesannya ke atas ekonomi.

Sesungguhnya, mempertahankan hak dan kemuliaan setiap insan adalah lebih mulia berbanding berpangku tangan melihat penindasan di seluruh dunia.
TAG