Kuasa Gelap Di Sebalik Nasionalisme Hindu India


Bagi ramai pihak, Narendra Modi - Perdana Menteri India - dilihat sebagai ahli politik karismatik yang diharapkan untuk menjadikan India sebagai kuasa besar dunia seiring dengan Amerika Syarikat dan China.
Beliau memiliki rekod yang cemerlang sepanjang menjadi pemimpin. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Gujarat selama 13 tahun yang menyaksikan Gujarat membangun dengan pesat sekali.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa terdapat sebuah kuasa gelap yang merbahaya yang sebenarnya memegang kuasa sebenar di India, iaitu sebuah organisasi bernama Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), sebuah pertubuhan Nasionalis Hindu anti-Islam yang telah ditubuhkan 94 tahun yang lepas pada tahun 1925.
Sejarah Dan Ideologi Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS)
Para pemimpin asal RSS tertarik pada gerakan Nazi dan fasisme di Eropah dan sedikit sebanyak telah menyalurkan idea-idea jelik puak fasis ke dalam pertubuhan RSS berkenaan. RSS juga merupakan organisasi induk kepada Parti yang diketuai oleh Narendra Modi, iaitu Bharatiya Janata Parti (BJP).
Kelompok pemimpin terawal RSS menyamakan umat Islam India seperti kelompok Yahudi di Eropah, dan selamanya dilihat sebagai "orang luar" yang tidak layak bergelar rakyat India.
Ideologi dan pemikiran jelik itu sangat jelas ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin politik RSS dalam Parti BJP. Menurut Arundhati Roy, seorang penulis terkemuka India, antara slogan yang selalu mereka utarakan adalah Mussalman ka ek hi sthan—Kabristan ya Pakistan” (Hanya satu tempat untuk orang Islam - kubur atau Pakistan).
Bagi RSS, usaha mereka di India kini adalah sebuah revolusi untuk menghancurkan segala sisa "penindasan" empayar Mughal (diketuai raja-raja beragama Islam) ke atas penduduk beragama Hindu di India.
Kini, RSS telah tersebar ke seluruh pelusuk India dengan 57,000 cawangan dan memiliki skuad militia tersendiri, di samping ribuan sekolah dan pelbagai jenis syarikat media.
RSS juga diberitakan telah menyusup masuk ke dalam institusi-institusi penting di India termasuk media massa, polis, agensi perisikan dan tentera India. Kuasanya amat mengkagumkan sehingga diplomat-diplomat dari negara Barat sering berjumpa dengan Pemimpin Agung mereka, Mohan Bhagwat.
Hasil daripada pengaruh RSS terhadap rakyat India beragama Hindu, ramai umat Islam mati dibunuh dengan cara dipukul dengan ganas kerana dituduh memakan daging lembu, yang dianggap suci dalam agama Hindu.
Menurut akhbar berita India bernama The Quint, seramai 113 orang telah terkorban dalam keganasan serupa, di mana seseorang dibelasah hingga mati oleh kelompok lelaki tidak dikenali. Majoriti daripada 113 orang tersebut adalah umat Islam.
Sejarah juga telah mencatatkan kerosakan yang dibuat oleh ahli-ahli RSS ini. Pada 6 Disember 1992, ratusan rakyat beragama Hindu yang diketuai oleh pemimpin-pemimpin RSS telah memusnahkan Masjid Babri, yang mereka anggap telah didirikan di atas runtuhan kuil yang merupakan tempat kelahiran Dewa Ram mereka.
Hasil daripada kes berkenaan, lebih 2,000 orang (kebanyakannya umat Islam) telah mati dalam rusuhan antara kaum di pekan Ayodhya dan kawasan sekitarnya.
Bukti semangat anti-Islam mereka tidak terhenti di situ sahaja.


Sejarah Hitam Narendra Modi, Pemimpin Karismatik RSS dan BJP
Narendra Modi, ahli RSS sejak usianya hanya 8 tahun adalah merupakan antara ahlinya yang paling cemerlang. Bersifat karismatik dan obses terhadap perjuangannya, beliau hidup bersendirian dan tidak berkeluarga (walaupun pernah berkahwin pada usia muda).
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa Narendra Modi juga merupakan seorang pemimpin anti-Islam yang amat keras terhadap umat Islam di India.
Semasa bulan kelima beliau bergelar Ketua Menteri Gujarat, 2,500 orang telah terbunuh (sekali lagi, kebanyakannya umat Islam) dalam siri rusuhan antara kaum di Gujarat. Terdapat laporan bahawa wanita-wanita Islam dirogol dan 150,000 umat Islam menjadi pelarian akibat keganasan berkenaan.
Portal berita dunia, seperti New Yorker telah menceritakan kes ini secara mendalam. Ternyata, terdapat ramai yang mengesyaki bahawa Modi adalah dalang di sebalik keganasan terhadap rakyatnya sendiri.
Kini, setelah lebih 5 tahun bergelar Perdana Menteri, beliau mula menonjolkan semula wajah anti-Islamnya sedikit demi sedikit bermula dengan menundukkan umat Islam di negeri Kahsmir. 
Kashmir adalah merupakan satu-satunya negeri majoriti Islam, dan turut memiliki status autonomi. Namun, pada Ogos tahun lepas, kerajaan India menukar status Kashmir menjadi wilayah kerajaan Pusat. 
Perkara ini sekali gus memudahkan kerajaan India untuk memasukkan jutaan rakyat India lain beragama Hindu ke Kashmir dan menjadikan umat Islam sebagai minoriti di negeri sendiri. Perkara sama telah berlaku di Xinjiang!
Bagi memastikan tiada protes daripada rakyat Kashmir, kerajaan India di bawah arahan Modi telah menutup internet, saluran telefon dan menghantar lebih 100,000 tentera untuk berkawal di Kashmir.
Menurut akhbar New Yorker dan The Nation, seramai 4,000 aktivis dan ahli politik Kashmir telah ditangkap dan ramai lagi dilaporkan hilang. Malah ada yang telah dipukul dan diseksa dengan kejam; ramai anak muda yang masih tidak diketahui nasibnya setelah ditangkap.
Tidak berhenti di situ, kerajaan India juga telah mula mewartakan undang-undang baharu yang mendiskriminasi umat Islam di India. Undang-undang Citizenship Amendment Act (CAA) menyatakan pelarian beragama selain Islam dari negara lain layak mendapat kewarganegaraan India, tapi bukan orang beragama Islam. Undang-undang ini dengan jelas merupakan satu usaha mendiskriminasi rakyat beragama Islam hanya disebabkan faktor agama, sekali gus menaikkan kemarahan umat Islam India dan pihak parti pembangkang di India.


Masa Depan India Di Bawah Kerajaan Nasionalis Hindu
Berdasarkan bukti dan kes yang telah dinyatakan, maka wajarlah umat Islam di India merasa terancam. India kini dikuasai oleh sebuah pertubuhan fanatik yang ternyata membenci Islam dan enggan berkompromi dengan perjuangan mereka menubuhkan sebuah Negara Hindu India.
Pada masa sekarang, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia selain daripada membantah tindakan kerajaan India yang telah mendiskriminasi rakyat mereka sendiri.
Namun, perkara ini juga seharusnya menjadi iktibar kepada semua umat Islam bahawa kekuatan politik adalah suatu aset yang berharga bagi membentuk sesebuah negara mengikut acuan ideologi yang dikehendaki.
Pertubuhan Hindu Nasionalis Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) juga telah membuktikan bahawa segala bentuk perjuangan yang dilaksanakan secara dedikasi pasti akan berjaya.
Umat Islam pula masih terbelenggu dengan institusi Islam yang lemah dan berpecah seperi OIC. Sejak lebih 90 tahun kehancuran Khilafah Islamiyah, masih tiada entiti politik Islam yang mampu mempertahankan dan memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam seluruh dunia.
Oleh itu, ayuh, bersama-sama realisasikan cita-cita mengembalikan kegemilangan umat Islam melalui usaha islah dan dakwah. Ayuh sertai kami.

Ditulis oleh:
Awang Syazuan Shafiq Bin Awang Jaya
Setiausaha ABIM Negeri Sarawak


Nota kaki: bagi mendapatkan bahan bacaan selanjutnya berkenaan isu di India, para pembaca boleh membaca di: https://www.thenation.com/article/arundhati-roy-assam-modi/
TAG