TAHUN BAHARU 2020 PENUH DAMAI, PEDULI DAN TOLERANSI
Khalifah Ali RA menuqil: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam. Rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam. Celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.”
Sambil kita berihtisab akan ihwal kehidupan yang telah ditempuhi di sepanjang tahun 2019, setiap orang juga dapat mengaut pelbagai pengalaman dan pelajaran hidup yang tersendiri. Entah usianya anak kecil, remaja, belia, dewasa, dan orang tua menuju senja, masing-masing sudah semestinya membuka lembaran baru kehidupan di hari pertama tahun 2020 ini.
Begitu Tuhan Maha Pemurah mengurniakan nikmat hidup dan įmān kepada orang Mukmin, wajar sekali kita memastikan situasi ke hadapan kelak akan menghala ke dalam lingkungan keberuntungan yang tentunya akan menjadi milik mereka yang beruntung di dunia dan akhirat. Paling sedikit, lima perkara berikut patut diperhati dan diusahakan:
1. Bergaul dengan lingkungan yang mengamalkan agama dengan baik.
2. Meningkatkan ilmu dan tarbiyah diri melalui bahan bacaan, majlis ilmu, dll.
3. Mengikuti perkongsian yang sarat dengan ilmu dan hikmah Ulamā dan Umarå.
4. Meninggalkan ulah lagha dan pembawa mudarat kepada sejagat.
5. Menghisab diri sendiri pada setiap hari.
Sama-samalah kita saling mengingatkan dalam perkara-perkara hak dengan penuh kesabaran. Proses pembaikan negara tidak akan terjadi dalam sekelip mata, tidak akan terealisasi pada retorik sahaja tanpa kesungguhan yang bulat di jiwa.
Usaha membangunkan negara tetap selalu akan bermula dari pembangunan kesolehan individu yang cerdas, keluarga yang penuh kasih sayang dan santun, masyarakat majmuk yang kaya dengan adab-susila dan toleransi yang tinggi, dan para politisi yang luhur jiwa, integriti, dan kredibel dalam menggalas tugasnya.
Hanya setelah itu Malaysia akan tertampak dengan sendiri sebagai sebuah negara yang benar-benar maju dari aspek pembangunan material dan syakhsiyah bangsa, terutama bagi Negeri Sarawak yang terkenal dengan keharmonian kaum dan tatakelola para pemimpin negeri yang amat santun terhadap rakyatnya.
Justeru ABIM Negeri Sarawak mendoakan agar kita #SeBangsa Malaysia terus komited dalam memastikan keamanan Negara dan Negeri kita kekal dapat dinikmati bersama dalam kepelbagaian bangsa, bahasa, tradisi, dan budaya.
Selamat Menyambut Tahun Baharu 2020!
M. Raufa Irman
Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak
Tiada ulasan
Catat Ulasan