563 orang telah dilaporkan telah meninggal dunia akibat virus Coronavirus yang semakin merebak ke seluruh dunia.
Wuhan, sebuah bandar besar di wilayah Hubei, China merupakan kawasan paling teruk terjejas. Ribuan penduduk Wuhan telah disahkan dijangkiti virus berkenaan.
Coronavirus kini telah tersebar ke 25 buah negara lain di dunia termasuk Malaysia, Singapura, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat, antara lain.
Setakat semalam, 28,018 kes telah disahkan di seluruh dunia dengan 563 kematian, majoritinya di negara China menurut WHO, Organisasi Kesihatan Dunia.
Pada minggu lepas, WHO turut mengumumkan bahawa penularan wabak Coronavirus ini diklasifikasikan sebagai "global health emergency" serta menasihatkan semua untuk berjaga-jaga dan bersedia dengan apa juga kemungkinan.
Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan di wilayah Hubei melaporkan bahawa mereka kini menghadapi kesukaran mendapatkan ubat-ubatan dan peralatan kesihatan bagi menangani situasi gawat yang berlaku di sana.
Seperti yang dilaporkan oleh media-media dunia, tular gambar yang menunjukkan pekerja kesihatan China terpaksa menggunakan pelbagai jenis plastik untuk dijadikan sebagai sut perlindungan.
Dikatakan bahawa punca merebaknya virus berkenaan adalah dari sebuah pasar yang menjual hidupan liar di Wuhan, di mana virus tersebut dengan mudah merebak kepada manusia.
Coronavirus ini bukanlah wabak pertama yang tular pada abad ini. Sebelumnya, Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) dan Middle Eastern Respiratory Syndrome (MERS) telah membunuh hampir 1,000 orang.
Walau bagaimanapun, orang awam dinasihatkan untuk tidak panik dan mendapatkan rawatan segera sekiranya menghadapi sindrom seperti selsema dan batuk.
Tiada ulasan
Catat Ulasan