Aidiwira Islam: Abdullah Ibn Zubair r.a.


Jika disebut nama-nama pemimpin Islam seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fatih, saya pasti semua umat Islam akan mengenali mereka dan kisah perjuangan mereka.

Namun, terdapat ramai lagi kelompok pemimpin Islam yang jarang disebut namanya, ibarat wira yang tak didendang.

Mereka juga merupakan pejuang Islam yang sangat berjasa kepada umat, namun tidak masyhur atas sebab-sebab tertentu.

Walau bagaimanapun, mereka berjuang tentunya bukanlah untuk dikenali, tetapi ikhlas kerana Allah dan kerana umat. Antara pemimpin yang tergolong dalam kelompok kedua ini adalah: Saidina Abdullah Ibn Zubair r.a.


Ibu Bapa Beliau

Abdullah Ibn Zubair adalah anak kepada dua sahabat Nabi Muhammad SAW yang tersohor iaitu Zubair Ibn Al-Awwam dan Asma Binti Abu Bakar.

Ayah beliau, Zubair Ibn Al-Awwam adalah seorang panglima perang Islam yang digeruni ketika hayatnya, dan salah seorang sahabat yang dijamin syurga. Pengorbanannya ketika bersama Rasulullah SAW ternyata sangat besar.

Asma Binti Abu Bakar, ibu Abdullah merupakan puteri kepada Saidina Abu Bakar r.a. Menurut sejarawan Ibnu Ishaq, Asma adalah orang ke-15 memeluk Islam di Mekah, dan beliau juga dikenali umat hingga kini kerana jasanya membantu Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq ketika peristiwa Hijrah di Gua Thur.


Kelahiran di Madinah

Abdullah Ibn Zubair merupakan bayi pertama yang lahir di Madinah selepas peristiwa Hijrah. Rasulullah SAW adalah antara yang hadir menziarahinya selepas kelahirannya, dan namanya "Abdullah" juga diberikan oleh Rasulullah SAW bersempena nama ayah baginda Nabi.

Memiliki ibu bapa yang sangat bertaqwa dan amat dekat dengan Rasulullah SAW membantu Abdullah Ibn Zubair membesar dengan didikan yang amat baik.

Hasil didikan ibu bapanya dan tarbiyah Rasulullah SAW, beliau memiliki keteguhan jiwa dalam perjuangannya menyebarkan Islam ke dunia luar.


Pahlawan Berpengalaman dan Berprinsip

Mengikut jejak bapanya, Abdullah Ibn Zubair pernah berperang di Mesir dan Khurasan untuk membuka dua kawasan berkenaan kepada penyebaran Islam.

Selepas fitnah yang melanda umat Islam pada penghujung pemerintahan Saidina Uthman Al-Affan r.a., beliau berpegang teguh dengan prinsip menentang kepimpinan Bani Umaiyah yang berseteru dengan Saidina Ali r.a.

Abdullah Ibn Zubair juga berpendapat bahawa beberapa polisi kerajaan Umaiyah adalah salah, seperti polisi terhadap orang ajam (pemeluk Islam baharu yang bukan berbangsa Arab) dan tindakan-tindakan Khalifah Yazid bin Muawiyah yang tidak disenangi umat Islam.

Seperti diketahui umum, Kerajaan Umaiyah memiliki konflik dan kontroversi dalam kalangan umat Islam sendiri seperti layanan terhadap orang ajam dan isu pembunuhan Saidina Hussain Ibn Ali r.a. di tangan tentera Umaiyah.


Menjadi Pemimpin Mekah

Peristiwa pembunuhan Saidina Hussain di Karbala menjadi pencetus kepada langkah Abdullah Ibn Zubair untuk menzahirkan penentangan terhadap Kerajaan Umaiyah yang dipimpin Khalifah Yazid Bin Muawiyah pada tahun 683 Masihi.

Seiring dengan penentangan terhadap Kerajaan Umaiyah, penduduk Mekah pada ketika itu menerima kepimpinan beliau dengan sebulat suara atas nasihat beberapa sahabat rapat Rasulullah SAW seperti ibunya sendiri.


Peperangan Pertama Menentang Umaiyah

Mendengar berita penentangan ke atasnya, Khalifah Yazid mengutus tentera ke Mekah untuk menewaskan Abdullah.

Tragiknya, tentera berkenaan menggunakan jentera perang untuk menghentam penyokong Abdullah sehingga Kaabah mengalami kerosakan. Walaupun begitu, penduduk Mekah berjaya bertahan setelah dikepung tentera musuh.

Selepas 2 bulan pengepungan berlangsung, penduduk Mekah akhirnya menarik nafas lega setelah tentera Umaiyah berundur secara mengejut.

Rupanya, pengunduran berkenaan dibuat selepas mendapat berita dari Damsyik yang memaklumkan bahawa Khalifah Yazid mangkat, dan hanya meninggalkan anaknya yang kecil untuk memerintah.


Memimpin Mekah Al-Mukarramah Selama Hampir 10 Tahun

Kemangkatan Khalifah Yazid membuka ruang kepada Abdullah Ibn Zubair. Beliau memiliki dua pilihan: menyerang Kota Damsyik semasa Kerajaan Umaiyah sedang mengalami krisis kepimpinan atau kekal di Mekah untuk memulihkannya.

Abdullah Ibn Zubair mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pertumpahan darah, dan tinggal di Mekah untuk memulihkan Kaabah dan seluruh kota Mekah yang telah diserang dengan teruk ketika peperangan.

Selama pemerintahannya di Mekah, beliau membina semula Masjidil Haram dan meluaskannya untuk kemudahan umat Islam yang menunaikan Haji.

Dalam tempoh itu juga, umat Islam yang tinggal di Mekah dan kawasan sekitarnya hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, serta menumpukan usaha mereka untuk membantu golongan yang lemah.


Kekalahan Dalam Peperangan Kedua

Namun, keamanan itu tidak kekal lama. Bani Umaiyah yang pada awalnya berada dalam krisis berjaya mengatur semula kekuatan mereka.

Khalifah Abdul Malik Bin Marwan yang baharu saja dilantik menggantikan ayahnya Marwan Bin Al-Hakam menghantar segerombolan tentera yang diketuai oleh Al-Hajaj Ibn Yusuf Al-Thaqafi.

Al-Hajaj menggunakan strategi pengepungan ke atas penduduk Mekah, dengan tidak membenarkan sesiapa untuk keluar masuk Mekah walaupun untuk menghantar makanan.

Abdullah Ibn Zubair pada ketika itu hanya mengetuai kawasan yang kecil sekitar Mekah tidak mampu menyaingi kekuatan gerombolan tentera Al-Hajaj yang akhirnya mematahkan semangat para pendokong beliau.

Pada saat akhir peperangan berkenaan, Abdullah Ibn Zubair mengarahkan semua penduduk Mekah untuk melarikan diri, meninggalkan beliau seorang di perkarangan Masjidil Haram.

Walaupun beliau dikepung oleh ribuan tentera musuh, beliau tidak menyerah kalah. Sebaliknya, beliau bertempur seorang diri sebelum akhirnya dibunuh tentera Al-Hajaj.

Mayatnya pula digantung sebagai tanda amaran kepada sesiapa sahaja yang berani menentang kekuasaan Umaiyah ketika itu. Selepas beberapa hari dibiarkan tergantung, barulah ibunya yang sudah tua, Asma Binti Abu Bakar dibenarkan mengambil mayat anaknya untuk dikebumikan.


Ibrah perjuangan Abdullah Ibn Zubair

Kisah pengorbanan Abdullah Ibn Zubair memberikan beberapa ibrah buat kita selaku penerus perjuangan para sahabat untuk membangunkan umat:

1. Politik berprinsip dan berakhlak (Politics of virtue)

Abdullah Ibn Zubair memiliki kelebihan awal ketika Bani Umaiyah dibayangi kekacauan selepas kemangkatan Khalifah Yazid Bin Muawiyah. Namun, beliau enggan memanjangkan perseteruan dengan mengarahkan bala tenteranya ke Damsyik untuk mengambil peluang berkenaan menghapuskan saki baki kekuatan Umaiyah.

Sebaliknya, beliau rela kekal di Mekah bagi menumpukan sepenuh perhatiannya mengembalikan kegemilangan Bandar Mekah al-Mukarramah, bandar kelahiran ibu bapanya.

Kasihnya terhadap Mekah dan prinsipnya yang teguh membuatkan beliau kalah di penghujungnya. Namun, kekalahannya dan kematiannya bukanlah sia-sia kerana beliau telah menjadi tauladan yang baik dan sewajarnya diikuti generasi Muslim mendatang.

2. Semangat kesatria yang perlu ada pada diri setiap pejuang

Abdullah Ibn Zubair dan sahabat-sahabat beliau bukanlah golongan yang takut akan kematian. Jika tidak, masakan beliau berani mengambil tindakan menentang Bani Umaiyah, sebuah kerajaan yang begitu kuat.

Beliau mengikut jejak para Anbiya' yang dirakamkan dalam Al-Quran sebagai pihak yang memperjuangkan kebenaran walaupun di hadapan pemimpin zalim. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s, Nabi Muhammad SAW pasti berbangga mengetahui bahawa ada lagi generasi baharu Muslim yang berani berjuang seperti mereka.

Keberanian ini disebut sebagai semangat kesatria. Sifat berani sebagai seorang pahlawan yang tidak takut akan kematian atau kesukaran.

Awang Syazuan Shafiq Bin Awang Jaya
Yang Dipertua ABIM Sarawak

TAG