APRESIASI SEMPENA ANUGERAH BELIA NEGERI SARAWAK
Bersempena penganugerahan Anugerah Belia Negeri Sarawak Kategori Persatuan kepada ABIM Sarawak Sabtu lepas (5 Disember 2020) di Asajaya, barisan kepimpinan ABIM Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih atas segala pengorbanan yang telah diberikan oleh para aktivis ABIM Sarawak serta seluruh ahli keluarga jemaah WADAH-ABIM-PERKEPIS.
Anugerah ini adalah pengiktirafan atas segala usaha yang dilakukan oleh para aktivis jemaah dalam rangka menyebarkan kebaikan kepada umat. Usaha ini bermula daripada leluhur kita 4 dekad yang lepas, dan kini diteruskan oleh generasi pemuda yang baharu.
Sememangnya segala bakti dan jasa ini kita lakukan semata-mata untuk mendapat redha Allah SWT tanpa memikirkan sebarang habuan duniawi. Namun, ia juga membuktikan bahawa gerakan kita ini telah mencapai standard kecemerlangan yang diperakui oleh Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak serta agensi-agensi lain.
Kita juga insaf bahawa umat amat memerlukan satu kelompok pejuang yang berusaha sedaya-upaya untuk membina semula kekuatan umat dalam segenap bidang bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah kita miliki dahulu.
Oleh itu, kami selaku pimpinan ABIM Sarawak menyeru kepada semua ahli-ahli ABIM Sarawak untuk terus menjadi pelopor dalam masyarakat serta memimpin generasi belia untuk lebih maju ke hadapan.
Terus istiqamah!
#SEJAHTERAKAN SARAWAK
Tiada ulasan
Catat Ulasan