Sebagai Muslim yang mencintai umat kita, persoalan "bagaimana hendak mengubah dan memperbaiki masyarakat?" pasti pernah timbul dalam sanubari kita.
Tambahan pula, kita kini mendiami zaman di mana umat Islam mengalami krisis dan pelbagai masalah yang perlu diubati dan diselesaikan.
Masalah sosial, sistem pendidikan Islam yang lemah, kemiskinan, kelemahan intelektual dan penjajahan minda adalah antara permasalahan yang membebankan umat Islam sehingga kini.
Justeru, apakah ada cara untuk kita menyelesaikan semua permasalahan ini sekaligus memperbaiki masyarakat?
Jawapannya semestinya 'ya' dan telah tersedia rapi dalam Al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra'd ayat 11:
"...sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum (masyarakat) sampai mereka mengubah (terlebih dahulu) apa yang ada pada diri mereka (sikap mereka)..."
Menurut Ahli Tafsir, Dr. Muhammad Quraish Shihab dalam bukunya Membumikan Al-Quran, ayat ini menegaskan bahawa pelaku perubahan ada dua iaitu Allah SWT dan manusia. Allah SWT menetapkan sunnatullah tentang hukum kemasyarakatan, dan hukum ini tidak membezakan sesuatu kelompok masyarakat dengan masyarakat yang lain.
Natijahnya, boleh saja masyarakat bukan Islam untuk menjadi maju asalkan hukum kemasyarakatan tersebut dipenuhi. Seperti juga masyarakat Islam boleh saja mundur disebabkan telah melanggar hukum kemasyarakatan berkenaan. Antara penyebab kemunduran adalah perpecahan masyarakat dan hilangnya peningkatan keilmuan dalam masyarakat berkenaan.
PERANAN MANUSIA DALAM PERUBAHAN
Namun, perkara yang diutamakan oleh Dr. Quraish Shihab dalam tafsirannya berkenaan firman Allah berkenaan adalah peranan manusia dalam mengubah keadaan masyarakat kita sendiri.
Beliau menekankan dua syarat pokok untuk terjadinya perubahan masyarakat iaitu (a) nilai Islami yang diterapkan dalam diri dan (b) iradah (kehendak) manusia untuk berubah.
NILAI ISLAMI
Bagi umat Islam, nilai terpenting yang sepatutnya mengarahkan segenap aktiviti kehidupan kita seharian adalah nilai tauhid (keesaan Allah SWT).
Nilai tauhid inilah yang dihayati oleh masyarakat Islam awal, sehingga mengubah secara terus sikap, gaya fikir dan tingkah laku mereka sehingga menjadikan mereka (para sahabat) sebagai generasi Islam terunggul yang mampu mengubah dunia.
Bagaimana pula caranya untuk menerapkan nilai tauhid ini dalam kehidupan masyarakat kita?
Pertama:
KETEGASAN MENENTANG PERKARA SYIRIK
Ketegasan menentang perkara-perkara syirik atau politeisme yang diamalkan masyarakat. Perkara sebegini jika dibiarkan, akan melenyapkan nilai tauhid dalam diri umat Islam.
Kesyirikan dam segala manifestasinya seperti penyembahan berhala ditolak dengan tegas sejak awal wahyu-wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Begitu juga dengan tindakan seperti kebohongan, keangkuhan dan kezaliman ditegah keras oleh Allah SWT dalam wahyu-wahyu yang diturunkan seawal dakwah Nabi Muhammad SAW di Mekah lagi.
Penerapan nilai tauhid pula akan membasmi kesyirikan dan sekaligus mengajarkan kita untuk memiliki fitrah bertuhan dalam hidup. Orang Islam tidak angkuh kerana tahu akan Maha Kuasanya Allah dan tidak takut kemiskinan kerana tahu akan kuasa Allah sebagai Pemberi Rezeki.
Kedua:
BIMBINGAN BERTAHAP BAGI PERILAKU NEGATIF YANG TIDAK TERKAIT SOAL AKIDAH
Sikap dan tingkah laku yang berkaitan dengan kehidupan sosial namun tidak berkaitan secara langsung dengan akidah tauhid pula dibimbing secara bertahap. Tingkah laku seperti meminum minuman keras, zina, riba, perhambaan dan lain-lain dibasmi secara bertahap dan berhikmah sambil menjelaskan sisi negatif perbuatan-perbuatan berkenaan.
Hal ini kerana tingkah laku tersebut telah membudaya dalam masyarakat dan diterima sebagai suatu kebiasaan dalam masyarakat berkenaan. Perkara ini amat jelas dalam kehidupan dalam masyarakat Jahiliyah sebelum datangnya risalah Islam.
Menerusi sejarah dakwah Rasulullah SAW, kita dapat hayati bahawa penerapan nilai Islami ini dilaksanakan oleh baginda dengan huraian yang rasional dan disertai dengan tauladan baginda yang kemudiannya diikuti para sahabat yang utama sehingga akhirnya mengalir ke seluruh anggota masyarakat.
Oleh itu, penerapan nilai Islami ini wajar dilakukan bermula dari individu-individu dan berakhir pada masyarakat. Oleh itu, amat penting bagi setiap daripada pendakwah dan semua anggota masyarakat untuk berusaha mengubah peribadi individu-individu sehingga perubahan tersebut menular kepada masyarakat.
RUMUSAN
Menurut Dr. Quraish Shihab, untuk menjalankan usaha perubahan ini, kita wajar meluruskan kembali pemahaman nilai Islam serta menyebarkannya sehingga mampu dihayati oleh umat secara keseluruhan.
Untuk mencapai matlamat berkenaan, penyampaian ilmu yang benar kepada masyarakat melalui institusi-institusi seperti masjid, sekolah dan lain-lain, amat penting agar nilai Islam yang sebenarnya dapat diterapkan secara sepenuhnya.
Di samping itu juga, para pendakwah diingatkan bahawa usaha memimpin perubahan (islah) masyarakat adalah suatu jalan yang panjang dan sukar untuk dilalui. Oleh itu, sikap istiqamah dan semangat juang yang tinggi amat diperlukan supaya misi tersebut dapat dijayakan sehingga ke akhirnya.
Awang Syazuan Shafiq Bin Awang Jaya
Yang Dipertua ABIM Sarawak
Tiada ulasan
Catat Ulasan