ANDA INGAT TAHUN 2020 MENCABAR? 2021 DIJANGKA AKAN LEBIH MENCABAR

2020 merupakan sebuah tahun yang amat mencabar bagi manusia di seluruh dunia. Pandemik Covid-19 yang bermula dari Wuhan, China telah membunuh lebih 1.5 juta penduduk dunia. Kelalaian kerajaan China menanganinya memberikan kesan buruk sehingga kini.

Lebih parah lagi, kesan negatifnya ke atas ekonomi dunia amat teruk dan mencengkam. Jutaan pekerja telah hilang sumber pendapatan, termasuk ratusan ribu rakyat Malaysia.

Namun, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun 2021 dijangka akan lebih mencabar.

PENINGKATAN KES COVID-19 SEBELUM VAKSIN MEMBERI KESAN

Portal berita Politico merumuskan bahawa kes jangkitan Covid-19 akan terus meningkat sehinggalah vaksin dapat diberikan kepada majoriti penduduk seluruh dunia. Kadar kematian dan hospitalisasi pesakit turut dijangka meningkat.

Memetik kata-kata Pengerusi Jabatan Etika Perubatan dan Polisi Kesihatan University of Pennsylvania, Zeke Emanuel, bilangan jangkitan Covid-19 hanya akan mulai menurun secara berterusan seawal November 2021.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna Covid-19 akan terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, dunia hanya akan kembali kepada normal hanya setelah beberapa tahun akan datang apabila suntikan vaksin berjaya diberikan kepada majoriti penduduk dunia, menurut pakar virologi Angela Rasmussen.

Anthony Fauci, Pengarah National Institute of Allergy and Infectious Diseases Amerika Syarikat turut menasihatkan semua penduduk dunia untuk kekal berwaspada dan memakai pelitup separuh muka walaupun telah disuntik dengan vaksin bagi mengelakkan jangkitan.

Nampaknya kita masih perlu menghadapi norma baharu untuk tempoh yang lebih lama.

 

KRISIS KEMANUSIAAN

Mark Lowcock, daripada organisasi UN Humanitarian Affairs and Emergency Relief melaporkan bahawa seramai 235 juta penduduk daripada 12 buah negara di dunia dijangka akan memerlukan bantuan makanan pada tahun 2021.

Perkara ini disebabkan oleh krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang akibat pandemik Covid-19. Negara-negara yang paling teruk terjejas adalah Yaman, Sudan Selatan, Nigeria, Burkina Faso dan Afghanistan, antara lain.

Ramai golongan yang dijangka terjejas adalah daripada kalangan umat Islam.

KESAN PEMANASAN GLOBAL

Fenomena Pemanasan Global juga dijangka akan terus memburuk, tanpa mengira negara-negara maju atau miskin.

Tahun 2020 mencatatkan rekod bagi bilangan ribut taufan paling tinggi direkodkan di Amerika Syarikat sejak catatan berkenaannya mula disimpan pada tahun 1851. Fenomena kebakaran hutan pada tahun 2020 juga adalah tertinggi dalam sejarah.

Walau bagaimanapun, tahun 2021 dikatakan akan menjadi lebih dahsyat. Ribut taufan, kebakaran hutan, kemarau dan pelbagai bencana alam lain yang dikaitkan dengan Pemanasan Global dijangka akan menjadi lebih kerap sekaligus memangsakan ramai rakyat di seluruh dunia terutamanya penduduk di negara-negara miskin.

PEPERANGAN DAN KONFLIK GEOPOLITIK BERTERUSAN

Pada tahun 2021, perang dingin antara Amerika Syarikat dan China akan menjadi lebih teruk. Presiden baharu Amerika Syarikat, Joe Biden bakal menggalas amanah untuk menghadapi kuasa besar nombor dua dunia, iaitu China. 

Di samping perbezaan polisi ekonomi, perseteruan Amerika Syarikat dan China bersifat ideologi: demokrasi vs kediktatoran, kebebasan vs penindasan. Rekod kedua-dua negara berkenaan berkaitan penjagaan hak dan kemuliaan insan juga amat teruk.

China dikutuk hebat kerana penindasannya terhadap Muslim Uyghur di wilayah Xinjiang. Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan lebih sejuta rakyat Uyghur beragama Islam kini berada dalam tahanan pihak berkuasa China.

Amerika Syarikat pula dikritik kerana masih belum mengeluarkan semua tenteranya daripada negara-negara Islam bergolak seperti Iraq, Syria dan Afghanistan.

Israel pula berterusan menjajah tanah Palestin dan menindas penduduk asal di negara tersebut. Ironinya, kedudukan Israel akan menjadi lebih selesa selepas negara-negara Muslim seperti UAE, Sudan dan Maghribi mengiktiraf Israel secara diplomatik.

Pergolakan geopolitik dalaman negara-negara Islam juga bakal bertambah. Secara umumnya, negara-negara Islam kini terbahagi kepada empat kelompok: Pro-Saudi, pro-Ikhwan, pro-Iran dan Berkecuali.

Negara-negara pro-Saudi seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir amat berseteru dengan kelompok Ikhwanul Muslimin yang memperjuangkan demokrasi di negara-negara Islam. Diketuai oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad Bin Salman dan Diktator Mesir, Fattah Al-Sisi, kelompok ini adalah berpusatkan kerajaan mutlak. Sebarang protes dan kritikan terhadap pemerintah amat digeruni mereka.

Kelompok negara pro-Ikhwan seperti Turki, Qatar dan Libya pula akan terus ditekan oleh musuh-musuh luaran yang tidak menyenangi ideologi Islamis mereka sama ada dalam kalangan negara majoriti Muslim mahupun negara-negara yang lain.

Negara-negara Pro-Iran yang dibarisi oleh Iran, Iraq dan Syria pula kini dihambat dengan pelbagai krisis. Ekonomi Iran merudum teruk akibat sekatan ekonomi Amerika Syarikat manakala Iraq dan Syria kekal bergolak akibat peperangan dan sistem politik yang tidak stabil.

Perpecahan dan konflik antara negara-negara Islam dunia kini amat membimbangkan kerana segala usaha penyatuan umat Islam sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyah telah gagal sehingga kini dan berkemungkinan perseteruan lebih menebal hingga beberapa dekad mendatang.

ISLAMOFOBIA SEMAKIN MENINGKAT

Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah beberapa kali membuat tindakan yang anti-Islam sepanjang tahun 2020. Perkara yang sama turut akan berulang, bahkan berkemungkinan lebih teruk pada tahun 2021.

Kerajaan Perancis telah memulakan usaha untuk membina 'French Islam' iaitu Islam versi Perancis dengan mengawal pendidikan Muslim. Macron merancang membina sistem pendidikan Imam tersendiri di Perancis bagi menyingkirkan Imam-Imam masjid yang memiliki haluan Islamis.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin juga dikenali dengan sentimen anti-Islam beliau dengan mengkritik usaha beberapa pasaraya Perancis menyediakan tempat khusus untuk produk-produk halal.

Ahli-ahli politik anti-Islam Perancis berselindung di sebalik ideologi sekularisme bagi  menzahirkan semangat anti-Islam mereka. Itulah kritikan yang dilemparkan sendiri oleh Ahli Parlimen pembangkang Perancis, Jean-Luc Melenchon dari parti La France Insoumise. 

Beliau menegaskan bahawa kebencian terhadap Islam semakin meningkat di Perancis dan sepatutnya ditangani dengan baik oleh kerajaan Perancis, namun sebaliknya yang berlaku. Ia malah diapi-apikan lagi oleh Emmanuel Macron demi memenangi pilihanraya Presiden yang bakal berlangsung beberapa tahun lagi.

Trend Islamofobia tersebut juga akan dirasai oleh semua umat Islam yang kini mendiami negara-negara Eropah.

KESIMPULAN

Mengetahui dan mendalami trend dunia bukanlah sekadar 'meramal' masa depan. Sebaliknya, ia membantu kita untuk mempersiapkan diri, keluarga dan negara untuk menghadapi tentangan dan cabaran yang bakal tiba.

Oleh itu, strategi yang berkesan perlu dirangka segera bagi memastikan umat tidak menghadapi kesan yang lebih teruk pada tahun 2021.


TAG