Tahun 2020 menyaksikan nasib rakyat Palestin terus diketepikan oleh pemimpin-pemimpin negara Arab. Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi telah mengumumkan ‘normalisasi’ hubungan dengan rejim Zionis Israel.
Perjanjian normalisasi berkenaan dinamakan ‘Abraham Accords’ dan dirunding oleh kerajaan Amerika Syarikat yang diketuai Donald Trump.
Perjanjian tersebut disifatkan sebagai “tikaman di belakang” oleh pimpinan Palestin. Sewajarnya, bukan sahaja rakyat Palestin yang terasa sakit pengkhianatan berkenaan, tetapi semua umat Islam di seluruh dunia.
Berikut beberapa sebab utama yang mewajibkan kita menolak ‘normalisasi’ hubungan Arab dan Israel.
1. ISRAEL DIDIRIKAN ATAS TANAH MILIK RAKYAT ASAL PALESTIN
Kelompok Zionis telah memulakan usaha mereka untuk menjadikan tanah Palestin sebagai tanah air mereka sejak abad ke-19 lagi. Usaha mereka mendapat kejayaan awal apabila Arthur James Balfour, Menteri Luar British menyatakan sokongan beliau kepada Zionisme dan penubuhan Israel pada tahun 1917.
Sokongan berkenaan menjadi kenyataan apabila kerajaan British berjaya merampas Baitulmaqdis daripada Khilafah Uthmaniyah pada 9 Disember 1917. Mulai tarikh berkenaan, British mula membenarkan tertubuhnya penempatan-penempatan Zionis di sekitar Baitulmaqdis.
Projek Zionisme berkenaan diteruskan sehinggalah tercetusnya Perang Arab-Israel 1948 yang menyaksikan Israel mendeklarasikan kemerdekaan dan mengusir jutaan penduduk Palestin dalam Peristiwa Nakbah.
Sehingga kini, pelarian Palestin masih belum mendapat pembelaan dan terpaksa tinggal di negara-negara sekitar seperti Syria, Lubnan dan Jordan.
2. TIADA KEADILAN BUAT RAKYAT PALESTIN
Perjanjian normalisasi Arab-Israel berkenaan tidak membantu rakyat Palestin dalam apa-apa perkara. Bahkan, Gaza masih lagi dikepung dan rakyat Palestin masih lagi tidak mempunyai hak untuk mendapatkan kemerdekaan.
Kebenaran menunaikan solat Jumaat di Masjidil Aqsa juga masih diperketatkan. Penempatan-penempatan haram Zionis di West Bank masih lagi dibina sehingga kini.
3. HANYA MENGUNTUNGKAN ISRAEL DAN AMERIKA SYARIKAT
Prinsip asas dalam rundingan adalah ‘give and take’. Namun, Israel tidak perlu memberi (give) apa-apa konsesi, sebaliknya hanya mengambil (take) keuntungan hasil daripada perjanjian berkenaan.
Rakyat Israel kini bebas melancong ke UAE, seperti yang dilaporkan portal berita Middle East Monitor. Sebaliknya, rakyat Palestin pula tidak dapat keluar daripada Palestin selagi tidak mendapat kebenaran rejim Zionis Israel.
Donald Trump pula mendapat pujian hasil perjanjian berkenaan daripada rakyat Amerika Syarikat berbangsa Yahudi dan pengundi Konservatif Kristian. Perkara ini terbukti menguntungkan Trump apabila berjaya meraih undian sebanyak 75 juta rakyat Amerika dalam pilihanraya Presiden (walaupun kalah), iaitu jumlah undian kedua tertinggi dalam sejarah Amerika Syarikat.
Trump kini masih lagi popular dalam kalangan pengundi Konservatif Krsitian walaupun ditewaskan lawannya Joe Biden. Beliau mungkin akan menggunakan popularitinya untuk kembali berusaha menjadi Presiden dalam pilihanraya tahun 2024 akan datang.
KHATIMAH: MASA DEPAN YANG SURAM BUAT PALESTIN
Dengan hilangnya sokongan dan usaha daripada pemimpin-pemimpin negara Arab yang membelakangi Palestin, jutaan rakyat Palestin kini masih hidup terumbang-ambing. Ramai belia Palestin yang tidak memiliki pekerjaan dan tidak memiliki masa depan yang cerah hidup dalam penjajahan.
Pemberontakan terhadap rejim Zionis telah dua kali dilakukan melalui Intifada, namun masih tidak dapat membebaskan Palestin. Umat Islam tidak dapat bergantung harap kepada pemimpin mereka sendiri untuk memperjuangkan Palestin.
Sebaliknya, perlu ada suatu usaha yang gigih daripada bawah, iaitu daripada umat Islam kebanyakan untuk membela nasib Palestin. Kita boleh belajar daripada gerakan Boycott, Divestment and Sanction (BDS) yang dimulakan oleh rakyat biasa di negara-negara Barat untuk memperjuangkan Palestin.
![]() |
Salah satu protes yang digerakkan BDS di Eropah |
Gerakan BDS ini berusaha menekan kerajaan Israel dengan memboikot produk Israel, selain menekan kerajaan mereka sendiri untuk tidak melabur di Israel serta mengenakan sekatan ekonomi terhadap Israel. Gerakan ini mula mendapat nama apabila berjaya memaksa penyanyi terkemuka dunia, Lorde untuk membatalkan konsert beliau di Israel.
Gerakan daripada bawah ini berpotensi untuk memaksa Israel menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin. Ia mendapatkan inspirasi hasil perjuangan rakyat kulit hitam Afrika Selatan membebaskan diri daripada kekejaman rejim apartheid pada tahun 1991.
Perjuangan anti-apartheid memakan masa berpuluh tahun, dan kita yakin bahawa usaha pembebasan Palestin juga akan memakan masa yang lama. Namun, ia lebih baik daripada hanya berpangku tangan dan membiarkan rakyat Palestin terus terseksa.
Tiada ulasan
Catat Ulasan