PETANDA JATUHNYA EMPAYAR AMERIKA? RUSUHAN GANAS DI BANGUNAN KONGRES AMERIKA SYARIKAT

Protes di bangunan Kongres Amerika Syarikat semalam bertukar ganas apabila ribuan penunjuk perasaan pro-Trump menyerbu bangunan Kongres Amerika Syarikat di mana Ahli-ahli Kongres dan Senator-senator sedang bersidang bagi merasmikan kemenangan Joe Biden dalam pilihanraya Presiden November lepas.

Protes berkenaan bermula pada awal pagi di hadapan Rumah Putih di Washington. Ribuan penyokong Donald Trump mendengar ucapan beliau yang mengulangi tuduhan bahawa terdapat konspirasi dan penipuan yang dibuat untuk memastikan beliau tewas dalam pilihanraya Presiden.  

Beliau kemudiannya mengarahkan penyokong-penyokongnya untuk berarak ke bangunan Kongres demi menyatakan protes mereka terhadap 'penipuan' yang berlaku. Keadaan seterusnya bertukar tegang apabila ada penunjuk perasaan yang mula cuba menceroboh kawasan bangunan Kongres. 

Ahli-ahli Kongres dan para Senator termasuk Naib Presiden Mike Pence terpaksa dibawa keluar oleh pihak petugas keselamatan untuk memastikan keselamatan mereka. 

Seorang wanita dilaporkan telah mati ditembak oleh pihak polis dalam bangunan Kongres, namun masih belum ada sebarang komen daripada pihak berkuasa tentang insiden berkenaan. 

Pemimpin daripada kedua-dua parti politik Demokrat dan Republican menyifatkan rusuhan berkenaan sebagai merosakkan sistem demokrasi Amerika Syarikat. Malah, ada di antara mereka yang menuduh Donald Trump sebagai penyebab kepada krisis tersebut.

Mitch McConnell, Ketua Majoriti Parti Republican di Senat mendakwa rusuhan berkenaan adalah "pemberontakan yang gagal". Joe Biden turut menyalahkan Trump kerana mengapi-apikan sentimen perusuh yang akhirnya menyebabkan keganasan dan kematian berlaku. 

Insiden ini menambahkan lagi keyakinan para pemerhati yang mengatakan bahawa dunia pasca-Amerika semakin dekat. Fareed Zakaria, seorang penulis Amerika Syarikat pernah menulis buku "The Post-American World" yang menyifatkan bahawa kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia kian tercabar. 

Rusuhan yang berlaku serta krisis dalam sistem demokrasi Amerika Syarikat sekarang juga merupakan sindrom kepada kejatuhan negara berkenaan daripada kedudukannya sebagai 'superpower' dunia, ditambah lagi dengan perseteruan politik yang semakin menjadi-jadi. 

Harapan dunia melihat Amerika Syarikat untuk kembali pulih kini terletak pada bahu Joe Biden yang akan dinobatkan sebagai Presiden pada 20 Januari 2021.

Pihak keselamatan Amerika Syarikat menghulurkan senjata bagi mempertahankan staf Kongres yang terperangkap.


TAG