Sejarah

Sejarah Penubuhan ABIM di Malaysia

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili salah satu pergerakan belia Islam di Malaysia. ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengerusi penaja penubuhannya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah (Almarhum) dan Setiausahanya ialah Sdr. Fauzi Abdul Rahman (Dato’). Pada 17 Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi dibawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada tahun 2009, setelah pihak kerajaan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM telah didaftarkan penubuhannya dibawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

ABIM telah melangsungkan Persidangan Agung Tahunan atau Muktamar yang pertama pada tahun 1972. Di Muktamar ini, Ustaz Razali Nawawi (Prof. Dr.) telah dipilih sebagai Presiden pertama. Muktamar juga telah memilih Sdr Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Agung. Semenjak itu, ABIM telah menjayakan kegiatannya dengan jaya. Era awal pergerakannya dicorakkan oleh usaha bagi mempertegaskan idealisme dan cita-cita perjuangan. Pelbagai kegiatan direncanakan bagi menjelaskan identiti ABIM sebagai sebuah pertubuhan belia dan gerakan Islam yang berteraskan prinsip dakwah dan tarbiyyah sebagai asas pendekatan pergerakannya.

Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip masyarakat madani di dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan kenegararaan.

Pada tahun 1974, telah berlaku peralihan kepimpinan ABIM. Ustaz Razali Nawawi melepaskan jawatannya dan Muktamar memilih Sdr. Anwar Ibrahim sebagai Presiden kedua. Di era kepimpinan beliau, ABIM telah tertonjol sebagai sebuah gerakan Islam yang berpengaruh di peringkat nasional dan antarabangsa. Sikap dan pendirian ABIM yang tegas terhadap pelbagai persoalan ekonomi, kebudayaan dan politik telah menjadikannya sebuah pertubuhan yang dihormati.

Kepimpinan ABIM beralih kepada Ustaz Siddiq Fadzil (Dato’) sebagai Presiden ketiga pada tahun 1983. Di era kepimpinan beliau, ABIM banyak menumpu usaha dakwah bil hal atau dakwah di dalam bentuk praktis bagi tujuan menyelesaikan permasalahan masyarakat dan umat secara lebih berkesan. Semenjak itu, beberapa institusi dakwah di bidang pendidikan dan perekonomian telah dikembangkan seperti Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI), Sekolah Menengah Islam (SEMI), Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (IPI), Koperasi Belia Islam Malaysia (KBI) dan Islamic-Outreach ABIM (IOA).

Pada tahun 1991, Dr Muhammad Nur Manuty telah mengambil alih kepimpinan ABIM sebagai Presiden keempat. Di era ini, ABIM terlibat dengan aktif di dalam proses pembinaan negara serta mengukuhkan gerakan kependidikan, kemasyarakatan dan ketamadunan. ABIM juga mula mengembangkan peranannya di bidang khidmat antarabangsa dengan membantu umat Islam yang menghadapi musibah seperti di Afghanistan dan Bosnia Herzegovina.

Kepimpinan ABIM beralih kepada Hj Ahmad Azam Abdul Rahman pada tahun 1997. Di era ini, ABIM telah memperkukuhkan peranannya di arena antarabangsa menerusi penubuhan Misi Keamanan Sejagat (MKS). Era ini juga ditandai oleh kemelut politik tanahair dan tercetusnya Gerakan Reformasi. ABIM telah menyumbang dengan konstruktif menggagaskan agenda Penyatuan Ummah seluruh masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Pada tahun 2003, Hj. Yusri Muhammad (Dr.) telah mengambil alih kepimpinan ABIM sebagai Presiden keenam. Di era kepimpinan beliau, ABIM telah menyumbang dengan aktif di dalam aspek kenegaraan terutama berkaitan isu kedudukan istimewa Islam di dalam perlembangaan dan persoalan syariah di dalam masyarakat majmuk.

Peralihan kepimpinan ABIM yang seterusnya telah berlaku pada Ogos 2009 di mana Sdr Muhamad Razak Idris telah dipilih sebagai Presiden ketujuh. Presiden ABIM kelapan pula adalah Tuan Haji Amidin Abdul Manan. Presiden ABIM yang terkini iaitu yang kesembilan ialah Tuan Haji Mohamad Raimi Ab Rahim.



Sejarah Penubuhan ABIM Cawangan Sarawak

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah ditubuhkan pada 12 April1978 di Kuching, Sarawak, hasil  beberapa pertemuan generasi pengasas ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah (almarhum) Ustaz Awang Pon Awang Sebon.


ABIM merupakan sebuah (badan bukan kerajaan) NGO Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 12 April1978 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Sekretariat ABIM Negeri

Sekretariat ABIM Negeri (SAN) merupakan nadi kepada segala pergerakan dan aktiviti ABIM. Antara perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan ialah:

• Perkhidmatan pendaftaran dan semakan keahlian,
• Pengurusan kewangan,
• Pembangunan Regenerasi ABIM,
• Unit Pembangunan Sosial, Unit Muslim Minoriti,
•Aktiviti pentadbiran seperti merancang, melaksana dan menyelaras segala urusan gerakan di peringkat Negeri, Daerah dan,
• Menyediakan program latihan kemahiran dan kepimpinan dari masa kesemasa kepada ahli yang bersesuaian.

ABIM telah menyediakan website abim yang membolehkan ahli serta masyarakat dapat mengetahui pendirian dan pandangan ABIM dalam isu semasa dalam dan luar negara. Disamping itu ahli juga boleh mengikuti perkembangan abim serta aktiviti-aktivitinya sepanjang tahun. Sila lihat www.abimsarawak.blogspot.com